HOME DOWNLOAD SERVISE CONTACT ABOUT ME SIGN IN BLOG

Tuesday, May 26, 2009

"Takkan Melayu hilang di Dunia"

Menurut artikel “Takkan Melayu Hilang di dunia Siber” yang ditulis oleh Syahrul Nizam Junaini, menceritakan perkembangan budaya Melayu dalam dunia siber yang semakin pesat membangun seiring dengan era globalisasi. Kewujudan dunia siber atau lebih dikenali dengan internet dan teknologi sesawang (web) membantu dalam mempromosikan budaya Melayu sama ada dalam mahupun luar negara. Hal ini kerana internet yang mempunyai capaian yang meluas dan tanpa sempadan membolehkan pelbagai maklumat disebarkan secara meluas. Malah maklumat tersebut juga boleh diakses dan diperoleh secara mudah dengan hanya melayari internet sahaja.

Oleh itu, perkembangan dunia internet ini dapat membantu penyebaran maklumat mengenai budaya Melayu dari pelbagai aspek. Malah semakin banyak laman web mengenai budaya Melayu boleh dilayari melalui internet seperti “Melayu Online” (melayuonline.com), “Sirih Pinang” (www.pnm.my/sirihpinang) dan laman rasmi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan warisan Malaysia (www.heritage.gov.my). Laman-laman web tersebut boleh memberikan banyak maklumat mengenai budaya Melayu dari pelbagai aspek sama ada berkaitan Melayu sahaja atau perkaitannya dengan budaya yang lain.

Selain itu, artikel tersebut juga menerangkan sesetengah laman web yang kurang mengetengahkan budaya Melayu secara meluas iaitu terdapat laman yang tidak mendedahkan budaya Melayu secara meluas. Walau bagaimanapun, masih banyak lagi laman web yang boleh dilayari bagi mendapatkan pelbagai maklumat mengenai budaya Melayu seperti adat istiadat pertunangan, makanan dan cara hidup yang memaparkan kemelayuan. Malah, terdapat juga klip video yang menayangkan beberapa majlis orang Melayu seperti majlis pertunangan, kenduri dan sebagainya.

Menurut artikel itu juga, dunia siber dapat membantu mempromosi budaya Melayu ke peringkat antarabangsa. Hal ini dapat mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai budaya Melayu kepada orang ramai yang melayari internet. Malah, hal ini juga lebih mudah kerana bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat mengenai budaya Melayu tidak perlu bersusah-payah untuk mencari dan membeli buku. Mereka hanya perlu mencari melalui komputer atau laptop yang mempunyai kemudahan internet dan menaip kata kunci carian yang diperlukan. Hal ini dapat menjimatkan masa, tenaga dan kewangan seseorang.

Biasanya, maklumat mengenai budaya Melayu yang ingin dicari adalah meliputi aspek idea, kebendaan, kesenian dan norma atau nilai budaya. Aspek-aspek tersebut pula meliputi pelbagai aspek yang lebih khusus dan spesifik. Kesemuanya boleh diperolehi dengan hanya melayari internet sahaja.

Turut dinyatakan dalam internet tersebut ialah jumlah pengunjung internet yang melebihi tiga juta pengunjung semenjak Januari 2007 bagi laman web “Melayu Online”. Pelbagai maklumat mengenai budaya Melayu boleh diperolehi melalui laman tersebut. Walau bagaimanapun, laman tersebut bukan dihasilkan oleh warga Malaysia, tetapi merupakan inisiatif Balai kajian dan Pengembangan Budaya Melayu di Yogyakarta, Indonesia. Hal ini harus diberi perhatian agar warga Malaysia khususnya orang Melayu sendiri bagi menghasilkan lebih banyak laman web yang mendedahkan maklumat tentang budaya Melayu.

Selain itu, artikel ini turut menyatakan mengenai usaha Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) untuk memperkasakan maklumat berkaitan budaya Melayu yang harus menerima pujian. Malah, laman web “Sirih Pinang” juga mendedahkan maklumat mengenai budaya Melayu, tetapi hanya memfokuskan pada satu cabang kecil sahaja seperti tradisi makan sirih iaitu warisan budaya silam orang Melayu yang semakin kurang popular dalam kalangan generasi baru. Hal ini perlu dititikberatkan agar budaya Melayu seperti tradisi tersebut tidak terus hilang ditelan zaman.

Perkara yang menarik dalam artikel tersebut ialah mengenai laman “Travel Document Systems” (traveldocumentsystems.com) yang mencatatkan dan menekankan nilai-nilai kesederhanaan, toleransi, harmoni dan hubungan akrab antara anggota keluarga, jiran dan komuniti. Nilai-nilai tersebut merupakan salah satu nilai yang menggambarkan budaya Melayu. Walau bagaimanapun, nilai-nilai tersebut semakin kurang dititkberatkan oleh sesetengah pihak kerana ancaman global terhadap budaya Melayu seperti yang terdapat dalam laman blog “Pena Kembara” (penakembara.blogspot.com). Ancaman mahupun cabaran tersebut adalah akibat pengaruh media massa yang kuat.

Pada akhir artikel tersebut, penulis menimbulkan beberapa persoalan iaitu adakah budaya Melayu itu tidak “kuat” kewujudannya di alam siber? Atau adakah mereka yang mengaku berbangsa Melayu itu sendiri kurang berminat mempromosikan warisan bangsa mereka ke pentas dunia secara maya?

Penulis juga menegaskan bahawa “sekiranya kita sendiri tidak mementingkan penyebaran maklumat tentang identiti yang melambangkan budaya Melayu di dunia siber, mungkin wujud risiko budaya Melayu akan terus lenyap di dunia”. Berdasarkan hal yang ditulis oleh penulis adalah benar kerana semakin banyak pengaruh yang “menyerap masuk” ke dalam budaya Melayu sama ada pengaruh dari budaya dalam atau luar negara dan boleh menyumbang kepada kepupusan budaya Melayu sebenar jika tidak dipertahankan keasliannya.

Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita untuk mengekalkan dan meluaskan budaya Melayu agar terus berkembang dan tidak akan terhapus begitu sahaja. Malah, salah satu cara untuk kita mengekalkan dan meluaskan budaya Melayu adalah melalui internet. Hal ini bagi membolehkan lebih ramai orang yang terdedah kepada budaya Melayu dan boleh menerapkan budaya-budaya Melayu tersebut dalam kehidupan seharian kerana banyak nilai mahupun norma dari budaya Melayu yang boleh diamalkan dalam hidup kita seharian.

Selain itu, budaya Melayu juga perlu dikekalkan bagi melambangkan kekuatannya sebagai budaya yang menjadi amalan majoriti masyarakat Malaysia. Hal ini kerana Melayu merupakan bangsa pertama yang bertapak di bumi Malaysia sebelum merdeka dan seharusnya mengekalkan budaya tersebut bagi melambangkan salah satu identiti budaya Malaysia. Oleh yang demikian, masayarakat Malaysia khususnya orang Melayu perlu sedar untuk menjaga martabat budaya Melayu di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Artikel tersebut sangat memberi sumbangan kepada bidang sains sosial dari pelbagai aspek. Artikel tersebut boleh dijadikan sebagai bahan bacaan yang berguna kepada orang ramai dan boleh dijadikan salah satu rujukan ilmiah kepada mereka yang memerlukan khususnya mereka yang belajar dalam bidang sains sosial. Hal ini kerana pelbagai idea dan pemikiran yang boleh diwujudkan hasil dari pembacaan artikel tersebut. Malah pembaca boleh memperluaskan pandangan mereka mengenai sesuatu perkara setelah membaca artikel tersebut sekaligus dapat memikirkan sesuatu idea yang lebih luas lagi.

Artikel tersebut juga dapat memberi kesedaran kepada orang khususnya mengenai topik yang yang dibincangkan iaitu “Takkan Melayu Hilang di Dunia”. Hal ini menggambarkan bahawa pentingnya artikel tersebut kepada masyarakat khususnya orang Melayu agar menitikberatkan budaya Melayu agar tidak “hilang” atau pupus ditelan zaman. Budaya Melayu merupakan aspek bidang sains sosial yang spesifik yang turut menjadi bidang kajian dan kita perlu sedar bahawa budaya Melayu adalah sangat penting dalam masyarakat kita. Hal ini kerana terdapat banyak nilai dan ciri-ciri unik yang ada dalam budaya Melayu yang perlu dikekalkan dan diperluaskan lagi agar nilai dan ciri-ciri tersebut terpelihara.

Selain itu, hal tersebut juga perlu dikekalkan agar bidang sains sosial itu sendiri tidak hilang ciri-cirinya tertentu khususnya bagi masyarakat Melayu yang sedang atau ingin menjalankan kajian terhadap budaya Melayu. Hal ini kerana bidang sains sosial adalah sangat luas dan meliputi budaya Melayu itu sendiri dan sekiranya budaya Melayu tersebut semakin pupus, maka salah satu ciri istimewa sains sosial telah tiada. Malah, kajian mengenai budaya Melayu dari dulu hingga sekarang tidak dapat dijalankan dengan sempurna kerana budaya Melayu yang kian terancam kewujudannya.

1 comment:

  1. Terima kasih kerana mengulas artikel hasil tulisan saya.

    http://www.syahrulnizam.com/2008/11/takkan-melayu-hilang-di-dunia-siber.html

    www.syahrulnizam.com

    ReplyDelete